Monday, October 5, 2009

Indahnya Berbaik Sangka wahai anak Adam a.s

Janganlah kamu menyangka dengan satu kata pun yang keluar dari seorang saudaramu yang mukmin kecuali dengan kebaikan yang engkau dapatkan bahawa kata-kata itu mengandungi kebaikan.

"Seandainya engkau menyampaikan keburukan saudaramu, Jika itu benar, maka bererti kamu sudah membuka aib saudaramu, dan jika itu salah, maka engkau sudah melakukan fitnah "

Rasulullah telah meninggalkan beberapa petua untuk mengubati penyakit lisan. Petua ini berguna untuk mengubati penyakit-penyakit lain seperti suka memfitnah, mengumpat, menipu, bercakap kotor dan sebagainya selain mulut celupar.
Pertama, nabi menyuruh diam. Sahabat Abu Syuraih Al-Khuza’iy r.a. menyatakan bahawa nabi pernah berpesan, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam.”


Kemudian, nabi menyuruh kita berzikir bagi mengimbangi aktiviti lidah. “Janganlah kamu banyak bercakap tanpa berzikir kepada Allah, kerana sesungguhnya banyak bercakap tanpa berzikir kepada Allah mengakibatkan kerasnya hati, dan orang yang paling jauh dengan Allah adalah orang yang paling keras hati.

Berhubung dengan zikir, menurut rekod Imam Bukhari, nabi telah menyatakan, “Ada dua kalimat yang paling disukai Yang Maha Pengasih. Sangat mudah diucapkan tetapi sangat berat dalam timbangan. Kedua-dua kalimat itu adalah ’subhanallah wa bihamdihi’ dan ’subhanallah hil azim’.” Kedua-dua kalimat ini membawa maksud ‘Maha suci Allah dan segala pujian kepadaNya’ dan ‘Maha suci Allah yang Maha Besar.’ Di dalam riwayat lain diceritakan, sesiapa yang membaca “subhanallah wabihamdihi” 100 kali sehari, maka semua dosanya diampunkan oleh Allah, meski pun sebanyak buih di lautan.


Kita telah sedia maklum bahawa Islam menyarankan mencari pasangan hidup yang beragama dan berakhlak baik. Namun, bagaimana cara mengenal pastinya? Bagaimana seorang lelaki atau wanita itu dikategorikan sebagai seorang calon yang beragama ? Adakah cukup sekadar rajin ke masjid dan rajin mendengar kuliah agama?

Malangnya, ramai mengambil mudah frasa “fardhu ain.”Iman Al-Ghazali telah membahagikan ilmu fardhu ain kepada dua kategori.Pertama, ilmu berhubung cara pelaksanaan ibadah-ibadah wajib seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Ilmu ini ramai yang tahu, ramai yang amal. Ada juga yang tidak tahu dan sedang berusaha memperbaiki diri.Kedua, ilmu berhubung cara menghilangkan sifat-sifat yang tercela di dalam hati seperti rasa tamak, dengki, marah tak bertempat, riak, ujub dan sebagainya. Menurut Imam Ghazali, “Menghilangkan sifat-sifat itu adalah fardhu ain dan tidak dapat mungkin menghilangkannya melainkan dengan mengetahui batas-batasnya, sebab-sebabnya, tanda-tandanya dan cara mengubatinya.” Ilmu ini ramai yang tidak mahu ambil tahu. Jika ada pun, ia tidak dianggap sebagai fardhu ain.

Apabila kita melihat seseorang yang suka mengumpat, berdengki, bercakap sombong dan sebagainya, ini menunjukkan beliau belum lagi mempunyai pengetahuan fardhu ain yang lengkap.

Seseorang yang tidak lengkap ilmu fardhu ainnya, sudah tentu tidak mempunyai asas agama yang kukuh. Apabila asas agama tidak kukuh, maka beliau bukanlah calon pasangan hidup seperti yang disarankan oleh nabi s.a.w.


Untuk itu, sama-samalah kita belajar teknik untuk bermujahadah dengan nafsu diri, kerana ia sebahagian daripada perkara yang perlu kita ketahui. Ia adalah fardhu ain.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani." Q.S Al-Hujuraat : 12

No comments:

Post a Comment